Monday, January 9, 2012

Perak mulakan kempen berdepan tiga pasukan juara



IPOH - Skuad Seladang memulakan saingan Liga Super 2012 dengan getir apabila bakal menentang tiga pasukan bekas juara dalam tempoh seminggu.

Perak memulakan kempen Liga Super berdepan juara Piala FA 2011, bimbingan Norizan Bakar, Terengganu di Stadium Perak, hari ini.

Ini disusuli perlawanan kedua di Stadium Shah Alam 14 Januari ini menentang juara Piala Liga 2010, Selangor.

Tiga hari kemudian, Perak perlu turun menentang juara Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan yang baru sahaja menjulang Piala Sultan Ahmad Shah, di Ipoh pada 17 Januari.

Menurut Norizan, ketiga-tiga perlawanan tersebut memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi daripada para pemainnya kerana ia berlangsung dalam tempoh singkat.

"Semua pemain perlu bekerja keras bagi mengekalkan kemantapan dan persefahaman dalam pasukan agar tidak terlepas mata berharga dalam kesemua perlawanan tersebut.

"Selain pemain tempatan, kehadiran dua pemain import, Lazar Popovic dan Michal Kubala akan menambahkan lagi kekuatan pasukan," katanya semalam.

Bagaimanapun, Norizan beranggapan pertemuan dengan Terengganu dan Selangor sebagai perlawanan biasa seperti pasukan-pasukan lain.

"Tiada sebarang keistimewaannya kerana kita akan berdepan dengan mereka sama ada cepat atau lambat," katanya.

Sebagai persediaan menghadapi saingan musim ini, Perak mengadakan tujuh perlawanan ujian dengan pasukan tempatan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...