Monday, November 5, 2012

Guiza janji tepati status termahal



DANIEL Gonzales Guiza (dua dari kiri) bersama Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) dan jurulatih Johor, Fandi Ahmad selepas sidang akhbar di Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Daniel Gonzales Guiza yang pernah dinobat sebagai penjaring terbanyak La Liga musim 2007/2008 ketika mewakili Mallorca berjanji memberikan aksi terbaik, sekali gus mahu melihat pasukan Johor menjuarai Liga Super tahun depan.

Pemain Getafe berusia 32 tahun itu yang dinanti-nantikan peminat bola sepak Johor tiba di sini semalam juga melahirkan keyakinan mampu menyesuaikan diri dalam saingan elit domestik, walaupun tidak tahu mengenai bola sepak Malaysia.

Guiza, yang kelihatan semangat turut melaungkan amaran awal untuk muncul penjaring terbanyak serta berusaha mencipta jaringan dalam setiap perlawanan yang diharungi bagi misi memburu Kasut Emas dan menjaga status sebagai pemain import termahal dalam Liga Malaysia.


"Saya akui tidak tahu langsung mengenai bola sepak Malaysia dan sebaik mendapat tawaran daripada Johor barulah saya mengikuti perkembangan Liga Malaysia menerusi internet.

"Misi utama apabila bersama Johor musim depan sudah pastinya untuk membantu pasukan meraih kejuaraan dan saya kini sudah cukup bersiap sedia termasuk dari soal kecergasan,'' katanya pada sidang akhbar di Hotel Thistle di sini semalam.

Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Guiza memberitahu, dia mengambil keputusan meninggalkan Getafe secara pinjaman untuk beraksi bersama Johor kerana mendakwa kurang persefahaman dengan pengurus kelab, selain mahu merasai pengalaman di tempat baru.

Dalam pada itu, pemain yang turut mendapat tawaran dari dua pasukan La Liga, Malaga dan Real Zaragoza tidak sabar untuk beraksi dengan beberapa pemain Johor seperti Mohd. Aidil Zafuan, Zaquan Adha Abd. Radzak, Safiq Rahim dan Azmi Muslim.

Sementara itu, Tunku Ismail turut berbangga kerana mendapatkan khidmat Guiza meskipun sudah ada tawaran dari kelab La Liga namun sebaliknya memilih Johor sebagai pasukan barunya secara pinjaman dari Getafe.

"Johor tidak mahu mengambil pemain berkualiti untuk jangka masa pendek sebaliknya sudah ada perancangan untuk memastikan pasukan ini dibarisi para pemain yang mantap dan mampu membantu pasukan meraih kejayaan kelak,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...