Thursday, November 8, 2012

Kelab Eropah tunjuk minat


Harian Metro

JURULATIH skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee menganggap prestasi dan mutu pemainnya yang mula mendapat perhatian kelab Eropah sebagai tanda positif ke arah pembangunan bola sepak tanah air.

Beliau berkata, semua pemainnya mempunyai kualiti permainan tersendiri untuk membarisi mana-mana kelab Eropah.

“Kini pemain muda negara mula berada dalam radar pencari bakat pasukan Eropah dan ini perkembangan baik untuk pemain yang terpilih kerana mereka bakal mendapat pendedahan lebih meluas.


“Pemain muda ini amat kompetitif dan komited dan sikap seperti ini amat disukai kelab Eropah selain pencapaian mereka merangkul pingat emas Sukan Sea 2011 dan Piala Newspaper di Vietnam baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Bekas pemain Harimau Muda A, Ahmad Fakri Saarani dikhabarkan akan bermain di Liga Eropah. Beliau kini bermain untuk Felda United.

Pemain kelahiran Kelantan berusia 23 tahun itu dilapor akan mengikat kontrak selama enam bulan bersama Kelab Divisyen Tiga Portugal, Atletico Sport Clube Reguengos, mengikuti jejak langkah Nazmi Faiz Mansor yang kini bermain bersama kelab remaja Beira Mar SC di negara sama. Kim Swee berkata, usaha meningkatkan mutu pemain muda negara perlu sentiasa diteruskan, bukan hanya tertumpu kepada skuad Harimau Muda tapi juga Harimau Muda B.

“Kami perlu memberi pendedahan lebih kepada pemain muda dengan memperbanyakkan lagi perlawanan peringkat antarabangsa selain membabitkan pemain skuad Harimau Muda B kerana mereka sudah pasti satu hari nanti akan mewakili negara.” Sementara itu, Kim Swee berkata, kecederaan lutut pemain pertahanan Harimau Muda, Mohamad Fandi Othman tidak begitu serius.

“Saya dimaklumkan Fandi menjalani pembedahan ‘athroscopic chondroplasty’ lutut kiri petang tadi dan mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk pulih.

“Ia bukan satu masalah kerana lebih elok cedera sekarang sebelum kami mula bermain dalam perlawanan kompetitif.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...