Thursday, November 1, 2012

Mafa anjur majlis tambah dana


Harian Metro

PERSATUAN Bola Sepak Melaka (Mafa) akan berusaha menambah dana persatuan dengan menganjurkan majlis minum petang bersama syarikat korporat di negeri itu.

Presidennya, Datuk Md Yunos Husin berkata, program seperti itu pernah dianjurkan beberapa tahun lalu untuk menyuntik dana Mafa.

Bagaimanapun katanya, sejak mengambil alih kepimpinan persatuan itu pada 2011 lalu, Mafa lebih kepada menyelesaikan hutang persatuan terutama kepada bekas pemain dan tunggakan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).


Katanya, hampir RM1 juta digunakan bagi menyelesaikan tunggakan terbabit dan sehingga kini Mafa hampir berjaya membersihkan imej sebagai persatuan bermasalah berkaitan gaji sebelum ini.

Beliau berkata, tiada lagi masalah pembayaran gaji ketika pasukan itu bersaing dalam Liga FAM 2011 dan 2012 dalam usaha Mafa berbelanja mengikut kemampuan.

“Apa pun dengan gaji mengikut kemampuan sudah pasti pemain bintang enggan beraksi bersama pasukan pada dua musim berkenaan.

“Justeru dengan usaha terbaru mendapatkan derma berkenaan kita yakin untuk mendapat khidmat pemain berpengalaman musim 2013,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mencadangkan Mafa mengadakan kutipan derma bagi menampung pendapatan persatuan itu.

Mohd Ali menyatakan demikian selepas menggulung perbahasan Belanjawan negeri Melaka 2013 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Seri Negeri Ayer Keroh, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mampu menyalur dana besar kepada Mafa kerana perlu mengagih peruntukan bagi pembangunan negeri secara keseluruhan khususnya dalam mengadakan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Mohd Ali berkata, sebanyak RM400,000 disumbangkan kerajaan negeri kepada Mafa tahun ini sedangkan persatuan itu memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta setiap tahun bagi membina sebuah pasukan mantap.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...