Thursday, November 1, 2012

PBSNT anggap Mohamad salah faham


Harian Metro

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusof berkata, pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) silap jika menyangka Jean-Emmanuel Effa Owona mempunyai dua kontrak apabila bersetuju mewakili Terengganu, musim depan.

Menurutnya, kontrak penyerang kelahiran Cameroon itu dengan Negeri Sembilan tamat semalam dan menandatangani kontrak selama setahun dengan Terengganu berkuatkuasa pada 1 Disember depan.


Shaikh Ahmad berkata, Owona hanya menandatangani memorandum persefahaman untuk mewakili Terengganu, minggu lalu dan bekas pemain kelab Perancis, FC Metz itu akan menandatangani kontrak sebenar sekembalinya bercuti di Cameroon, pertengahan bulan depan.

“Sebenarnya tidak timbul isu pemain berkenaan mempunyai dua kontrak seperti yang disuarakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga presiden PBNS.

“Mungkin pihak pengurusan PBNS tidak mengetahui cerita sebenar mengenai persetujuan Owona untuk mewakili Terengganu musim depan dan kami bersedia memberi penjelasan sekiranya diperlukan oleh mereka,” katanya.

Shaikh Ahmad bagaimanapun enggan mengulas mengenai gaji yang ditawarkan kepada Owona namun difahamkan jumlahnya tidaklah setinggi RM916,000 setahun seperti yang dimintanya kepada PBNS.

“Kami tidak mahu menimbulkan masalah dengan mana-mana pihak dalam hal pengambilan pemain baru ketika sedang berusaha mencari jalan terbaik melengkapkan pasukan untuk menghadapi saingan musim depan.

“Beberapa pemain luar negara dari Brazil dan Ivory Coast sudah tiba untuk menghadiri sesi pemilihan pemain import kedua dan keputusan siapa seorang lagi pemain import Terengganu diketahui selepas 7 November ini,” katanya.

Menurutnya, beberapa pemain tempatan seperti Farderin Kadir dan Khairan Ezuan Razali yang sebelum ini bermain dengan Felda United FC juga sudah menandatangani memorandum persefahaman mewakili Terengganu, musim depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...