Thursday, November 1, 2012

‘Itu hak Khyril’


Harian Metro

“ITU hak dia,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika ditanya khabar angin penyerang skuad Hijau Kuning, Khyril Muhymeen Mohd Zambri, 25, dikatakan bakal ‘dilamar’ pasukan negeri lain dengan tawaran gaji lumayan.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah seperti merelakan penghijrahan penyerang kebangsaan itu yang terkenal dengan panggilan Khyril ke negeri selatan tanah air.

Menurutnya, terpulang kepada setiap pemain skuad Kenari sekiranya mereka mendapat tawaran yang lebih baik daripada pasukan atau kelab negeri lain kerana ia salah satu cara pemain dapat pergi lebih jauh.


“Selepas kita latih dia dan jika dia dapat tawaran baik... baguslah. Memang kita galakkan orang berbakat untuk pergi dan ia memang menjadi satu kebiasaan tapi kita akan tengok pula berdasarkan kontrak sedia ada.

“Kita kena tengok semula melalui prosedur termasuklah melihat kembali terma kontrak yang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah, semalam.

Semalam, beberapa laman web penyokong bola sepak Kedah melaporkan Khyril yang kini sedang menggalas tanggungjawab bersama skuad Harimau Malaya masih menunggu tawaran bersesuaian dari KFA namun pada waktu sama pasukan gergasi lain turut mahu mendapatkan khidmatnya musim depan.

Difahamkan, pasukan gergasi dari selatan dan timur tanah air ada menghubunginya, namun Khyril belum memutuskan perkara berkenaan dan akan berbuat demikian sebaik pulang dari tugasan bersama negara dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Azizan ketika ditanya sama ada akan merombak pengurusan KFA yang dikatakan semakin goyah, berkata perkara itu terpulang kepada Jawatankuasa KFA untuk membuat keputusan.

“Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap KFA, malah setiap bulan kita memberi bantuan sebanyak RM250,000.

“Mungkin kita akan kaji kembali dari segi pemain ataupun pengurusan. Kita tahu penyokong di Kedah ramai dan kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap KFA,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...