Thursday, November 1, 2012

Tengku Abdullah kecewa tindakan pemain tidak hormati kontrak


Harian Metro

TINDAKAN segelintir pemain tidak menghormati kontrak bersama pasukan asal apabila menandatangani kontrak bersama pasukan baru menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, mengundang rasa kurang senang dan kecewa Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sambil menyifatkan ia sebagai tidak beretika, Tengku Abdullah juga menganggap tindakan yang seolah-olah dianggap remeh itu hanya akan merosakkan imej sukan bola sepak di negara ini.

“Ini masalah etika sebab kalau boleh kita mahu semua pemain dan persatuan menghormati kontrak. Kalau cuba nak menukar hala tuju sewenang-wenangnya, mungkin ia akan merosakkan sukan bola sepak.


“Soal pembatalan atau soal memberi imbuhan (yang lebih) memang dibenarkan tapi kenalah ada persetujuan kedua-dua pihak dan saya rasa bukankah lebih elok kita patuh kepada perjanjian asal sebab itulah cara terbaik.

“Janganlah pula sampai pergi ke mahkamah kerana ia tidak mencerminkan kematangan pemain atau persatuan berkenaan,” katanya yang ditemui pada sidang media Kongres Persekutuan Hoki Antarabangsa kali ke-43 semalam.

Beliau diminta mengulas laporan Arena Metro, semalam berhubung pandangan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan meminta FAM memantau isu kontrak pemain yang beraksi di Liga M.

Mohamad Hasan meluahkan perkara itu selepas mendapati ada segelintir pemain yang sewenang-wenangnya melanggar kontrak dengan menandatangani kontrak baru bersama pasukan lain yang menawarkan gaji lebih lumayan.

Jelas Tengku Abdullah, pihaknya akan menunggu laporan daripada PBNS sekiranya persatuan itu berbuat demikian, tetapi beliau enggan menuding jari sepenuhnya kepada pemain terbabit.

“Mungkin (pemain itu) ada sebab-sebab tertentu dan tidak ada kesesuaian lagi. Tetapi sebagai pemain profesional, kita sepatutnya menghormati kontrak sedia ada.

“Anda sepatutnya beraksi dengan baik bersama mana-mana kelab yang membayar gaji anda. Jangan sewenang-wenangnya membelakangkan majikan yang sudah pun memberi imbuhan mencukupi kepada anda,” katanya.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut menyokong cadangan untuk mengadakan perbincangan dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mewujudkan satu badan bebas yang akan mentadbir liga bola sepak tempatan dalam usaha FAM melihat kelibat aksi pasukan tempatan bersaing dalam kejohanan bola sepak berprestij kelab Asia, Liga Juara-Juara AFC.

“Setiap liga di dunia ada kelemahannya tersendiri dan kita akan terus perbaiki serta memperkukuhkan struktur liga di negara kita,” katanya.

1 comment:

  1. time ni la nak kuar cite sal kontrak..biar lar pemain yg menetukan masa depan diorang..sebenarnya ada ssetengah pihak yang x puas hati kerana gaji pemain bolasepak malaysia semakin tinggi..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...