PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) akan berusaha mendapatkan pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin untuk beraksi dengan skuad Seladang dalam saingan Liga Super musim depan.
Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, beliau keliru dengan pelbagai berita mengenai kedudukan Azidan.
"Sebelum ini, saya dimaklumkan bahawa Azidan secara peribadi menyatakan hasrat untuk bermain dengan Perak," kata Zainol selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Para Petugas Stadium Perak di sebuah hotel terkemuka di Ipoh malam kelmarin.
PAFA meraikan lebih 200 petugas yang membantu persatuan itu sepanjang perlawanan Liga Super dan Piala Presiden di Stadium Perak, Ipoh musim lalu.
"Hasrat Azidan dipanjangkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan persatuan di Lembah Klang itu bersetuju memberi pelepasan kepada pemain tengah tersebut," tambah Zainol.
Kini, beliau mendengar desas- desus bahawa FAS sudah menghantar surat kepada PAFA bahawa Azidan akan bermain dengan Pahang.
"Mana satu yang betul ni, saya akan meminta Setiausaha PAFA, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin menghubungi FAS mengenai kedudukan Azidan," katanya.
"Saya berpendapat, jika tuan tubuh (Azidan) ingin bermain di Ipoh, berilah pelepasan kepadanya. Kalau tuan tubuh itu tidak mahu menyarung jersi Perak, PAFA akan mencari pemain lain."
Sebelum ini, PAFA terkejut apabila Azidan yang sudah bersetuju beraksi dengan Perak telah berubah angin ingin bermain dengan Tok Gajah.
Setiausaha PAFA mengakui menerima surat rasmi daripada Setiausaha FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengesahkan bahawa Azidan akan beraksi dengan Pahang minggu lalu.
Bagaimanapun, Azidan belum menandatangani sebarang surat persefahaman atau kontrak dengan PAFA.
Sementara itu, Zainol memberitahu bahawa beberapa pemain dari Sepanyol dan Brazil berhasrat mengisi kekosongan kuota pemain import Perak.
"Pemain dari kedua-dua negara itu akan menjalani ujian pemilihan pertengahan bulan ini," katanya.
Perak sedang mencari dua pemain import apabila kontrak Michal Kubala dan Albert Bodjongo tidak disambung setelah tamat 31 Oktober lalu
No comments:
Post a Comment