Tuesday, November 6, 2012

PBSNT, Butler cari jalan damai


Berita Harian

Kuala Terengganu: Adakah Peter Butler akan kekal sebagai ketua jurulatih Terengganu atau menjadi ketua jurulatih T-Team musim depan? 

Persoalan itu mungkin terjawab sekembalinya jurulatih berbangsa Inggeris berusia 46 tahun itu ke Kuala Terengganu hari ini selepas menghabiskan cuti tiga minggu bersama keluarga di Manchester, England. 

Butler yang sebelum ini didenda, digantung dan ditamatkan kontraknya oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebelum hukumannya itu ditarik balik oleh Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan lalu, juga dijadual bertemu pengurusan tertinggi PBSNT hari ini. 


Menurut sumber T-Team, arahan sudah dikeluarkan ketua pegawai eksekutif yang baru dilantik, Abdul Rasid Jusoh supaya wakil pasukan itu menjemput Butler di Lapangan Terbang Sultan Mahmud hari ini. 


Ada tanda penyelesaian

Sebaik saja mendarat di lapangan terbang, jurulatih itu perlu dibawa ke pejabat PBSNT di Wisma Amar di Kuala Terengganu untuk bertemu dengan pengurusan tertinggi persatuan itu. 

“Nampak ada usaha ke arah mahu menyelesaikan masalah Butler dengan PBSNT secepat mungkin. Kami diarahkan menjemput jurulatih itu dan tanpa melengahkan masa membawanya terus ke pejabat persatuan berkenaan. 
“Ada kemungkinan Butler dan pengurusan PBSNT akan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya jurulatih itu dapat menerima tugasan baru sebagai ketua jurulatih T-Team,” katanya. 

Namun, kemunculan jurulatih Kuala Lumpur, Razif Ismail di Kuala Terengganu kelmarin yang mana dia turut berada di padang ketika ujian pemilihan pemain baru yang berminat untuk menyarung jersi T-Team musim depan menimbulkan persoalan. 


Razif sah hadir

“Ada yang mengatakan Razif cuma akan dilantik sebagai penolong jurulatih, namun buat masa ini belum ada apa-apa kenyataan daripada pengurusan tertinggi pasukan,” katanya. 

Sementara itu, ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam, Razif mengesahkan hadir pada ujian pemilihan pemain baru, kelmarin. 

“Saya berada dua hari di Kuala Terengganu. Saya dijemput ke sana untuk berbincang dengan pengurusan T-Team. 

“Oleh kerana T-Team di bawah pengurusan baru, belum ada kata putus dibuat dan saya percaya semuanya akan diketahui dalam masa terdekat ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...