Thursday, November 1, 2012

Safiq Rahim sah pilih Johor


KETUA pasukan Selangor, Safiq Rahim mengesahkan bahawa beliau akan menyarung jersi Johor dalam saingan Liga Malaysia pada musim depan. 

Safiq yang juga ketua pasukan kebangsaan berkata hasrat beliau ke Johor mendapat restu daripada keluarga serta majikan, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang bersetuju melepaskannya. 

"Saya masih menunggu kontrak saya bersama FAS yang bakal berakhir pada 30 November ini sebelum menandatangani kontrak bersama Johor. 

"Saya sudah maklumkan kepada PBNJ (Persatuan Bola Sepak Negeri Johor) bahawa kontrak saya adalah 1+1 (setahun dan dilanjutkan setahun) kerana jika saya mendapat tawaran daripada kelab luar Asean pada 2014, saya akan menyertai pasukan tersebut," katanya di sini. 


Selain Safiq, pasukan Johor yang dahulunya dikenali sebagai Johor FC hampir pasti mendapat khidmat tiga pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu pasangan kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul  Razak serta Mohd Azmi Muslim serta bekas pemain Terengganu, Mohd Muslim Ahmad.

Safiq yang mempunyai kepakaran menjaringkan gol melalui sepakan percuma berkata, antara faktor beliau berpindah ke Johor adalah untuk beralih angin selepas bersama Selangor sejak 2007.

Beliau berharap untuk merangkul Piala Malaysia bersama Johor kerana ia merupakan satu-satunya piala yang belum diraihnya sepanjang menyarung jersi Selangor.

Mengenai tawaran menjalani latihan bersama sebuah kelab di Croatia baru-baru ini, Safiq berkata beliau terpaksa melupakan hasrat itu kerana tarikhnya bertembung dengan persiapan skuad kebangsaan menghadapi Piala AFF Suzuki, akhir bulan ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...