Thursday, November 8, 2012

Skuad impian Irfan


Harian Metro

PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim mengaku sudah memiliki barisan pemain impian untuk mencabar pasukan gergasi kancah Liga Malaysia musim depan.

Merah Kuning membuat persediaan awal kali ini dengan mendapatkan sejumlah besar pemain berpengalaman selain beberapa pemain kebangsaan bagi memastikan hasrat Irfan Bakti meraih sekurang-kurangnya satu piala musim depan menjadi kenyataan selepas kemarau kejuaraan selama dua musim.


Seramai 11 pemain baru dibawa masuk antaranya, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Abdul Shukor Jusoh, Mahali Jasuli, S Kunanlan selain penjaring terbanyak Liga Super musim lalu dari Liberia, Francis Forkey Doe yang mengisi kekosongan ditinggalkan penyerang import Merah Kuning dari Croatia, Bosko Balaban.

“Kali ini saya mempunyai banyak pilihan pemain penyerang, tidak seperti musim lalu apabila terpaksa berharap kepada Bosko dan Mohd Amri Yahyah untuk meledak jaringan. Selain kehadiran pemain berpengalaman, saya turut miliki beberapa pemain yang boleh mengubah pendekatan perancangan taktikal.

“Malah saya tidak berdepan masalah walaupun Doe sebelum ini dilapor mempunyai masalah disiplin ketika bersama Terengganu. Bagi saya manusia boleh berubah dan saya menaruh keyakinan kepadanya yang sudah membiasakan diri dengan kancah bola sepak tempatan musim lalu,” katanya.

Selain itu, jentera serangan Selangor bakal diperkuat bekas pemain Kuala Lumpur yang menyerlah bersama Kelantan dalam saingan Piala Malaysia, Mohd Afiq Azmi selain kehadiran Mohd Ramzul Zahini Adenan dengan kedua-duanya mempunyai kelebihan fizikal jika dibanding pemain tempatan lain.

Kehilangan perancang tengah Merah Kuning kepada Johor, Mohd Safiq Rahim yang juga kapten skuad kebangsaan tidak terlalu dirasai Merah Kuning dengan kehadiran bekas pemain Harimau Muda A, Abdul Shukor dan S Veenod bagi memberikan sokongan tambahan kepada barisan pemain sedia ada seperti K Gurusamy.

“Saya harap 11 pemain baru yang menyertai Selangor mempamerkan peningkatan bersama pemain lain selain tahap disiplin lebih tinggi.” Bagi skuad musim depan, Selangor mengekalkan 12 pemain musim lalu seperti kapten, Mohd Amri, Mohd Asraruddin Putra Omar, Mohd Bunyamin Omar, Mohd Fitri Syazwan Raduwan termasuk tonggak importnya dari Lubnan di barisan pertahanan, Ramez Jamal Dayoub.

Seramai 10 lagi pemain tidak dilanjutkan kontrak selain Safiq dan Azidan Sarudin yang berhijrah ke Pahang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...