Saturday, September 3, 2011

‘Kami bukan pasukan pelengkap’


“KAMI bukan pasukan pelengkap!” Itu amaran dilaung jurulatih Sime Darby FC, Ismail Zakaria menjelang saingan Piala Malaysia yang bakal bermula 6 September ini.

Tampil selaku pasukan dilabel paling lemah dalam Kumpulan B, Ismail menegaskan, anak buahnya tidak rela untuk memberi laluan mudah kepada lawan yang rata-ratanya mempunyai reputasi hebat.

Terengganu pasti menjadi pasukan pilihan selepas memenangi Piala FA menewaskan Kelantan selain konsisten pada saingan Liga Super manakala Selangor PKNS muncul juara Liga Perdana musim ini.

Melihat undian dalam kumpulan maut itu, Ismail mahu anak buahnya menghormati kehebatan lawan tetapi ia bukan bermakna mereka akan ‘menghormati’ lawan apabila turun beraksi pada saingan Piala Malaysia.

“Jangan anggap kami sebagai pasukan pelengkap. Kami ada strategi tersendiri untuk cuba mencatat keputusan terbaik pada setiap perlawanan.

“Saya mahu setiap pemain menggunakan setiap perlawanan sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman dan pada masa sama, cuba memberi saingan sengit kepada lawan,” katanya.



Keyakinan Ismail itu wajar diambil kira setiap pasukan Kumpulan B kerana mereka sudah membuktikan mampu menundukkan pasukan lebih hebat apabila menewaskan Pahang menerusi agregat 6-0 pada perlawanan kalah mati sebelum mengesahkan tempat ke Piala Malaysia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...