Monday, September 5, 2011

T-Team tidak mahu dabik dada jumpa Selangor


KUALA LUMPUR - Pengendali T-Team, Yunus Alif tidak mahu mendabik dada bahawa pasukannya memiliki kelebihan besar ke atas Selangor biarpun mendapat kelebihan bermain di laman sendiri pada perlawanan esok.

Melabelkan skuad Red Giants sebagai sebuah skuad berpengalaman, jurulatih berpengalaman itu menegaskan, suasana pertandingan Piala Malaysia adalah satu pentas yang berbeza dan rekod pertemuan liga tidak harus dijadikan perbandingan.

''Ini Piala Malaysia , dua kali kemenangan kami pada Liga Super musim ini tidak perlu diperkatakan lagi, itu sudah jadi sejarah.

''Bagi saya, pertemuan dengan Selangor Selasa ini (esok) adalah perlawanan yang berlainan memandangkan ini perlawanan pertama bagi kedua-dua pasukan di Piala Malaysia.

''Ditambah dengan persiapan rapi yang saya lihat pada pasukan Selangor dan pengalaman sebahagian besar pemainnya, saya sedar perlawanan itu nanti pasti sengit, jika kami mahu meraih kemenangan, " katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

T-Team walaupun menduduki tangga kelapan liga berbanding Selangor di tempat ketiga, kelab itu menang dalam kedua-dua pertemuan di tempat sendiri iaitu dengan jaringan 2-1 (21 Mei) dan meraih keputusan 2-0 (9 April) ketika bertandang di Stadium Shah Alam.

Walaupun begitu, dia tetap yakin skuadnya ada kemampuan memburu tiga mata apabila melayani kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah nanti.

''Kebanyakan anggota pasukan ini berpengalaman dan pentas Piala Malaysia bukan sesuatu yang asing bagi mereka, saya yakin mereka tahu bagaimana mahu melayani Selangor nanti, insya-Allah tiga mata mampu kami kutip.

''Misi kami mahu mendapatkan kemenangan pada perlawanan pertama ini dan muncul juara kumpulan kerana kami meletakkan sasaran mahu menjuarai Piala Malaysia, " katanya.

Yunus juga berpendapat kunci pertemuan kedua-dua pasukan itu nanti mungkin bergantung kepada penguasaan bahagian tengah yang mana Zairo Anuar Zailani (T-Team) dan Safiq Rahim (Selangor) mungkin menjadi watak penting kepada pasukan masing-masing.

''Mungkin bahagian tengah akan menjadi penentu kejayaan kepada kedua-dua pasukan, saya harap pemain mampu melaksanakan apa yang saya rencanakan, " ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...