Tuesday, November 6, 2012

Amri kekal setahun lagi


Harian Metro

KEHILANGAN sejumlah besar tonggak utama Selangor menyebabkan Mohd Amri Yahyah berada dalam dilema untuk meneruskan khidmatnya bersama Merah Kuning musim depan.

Namun selepas berfikir panjang, pemain tengah berusia 31 tahun itu akhirnya setuju untuk kekal menabur bakti bersama pasukan tunggal yang diwakilinya sejak 2001.

“Memang pada awalnya pemergian sejumlah besar pemain utama menimbulkan kebimbangan kepada saya untuk bersama Selangor. “Bagaimanapun selepas memikirkan jasa Selangor selama ini, saya akhirnya membuat keputusan untuk kekal setahun lagi,” kata kapten Selangor yang mengetuai pasukan itu sejak 2009.


Keputusan pemain kelahiran Tanjung Karang, Kuala Selangor itu akhirnya menutup hasrat beberapa pasukan lain seperti Terengganu, Selangor PKNS, Felda United dan Negeri Sembilan menagih khidmat pemain berkaliber yang turut mampu beraksi di posisi penyerang itu.

Pada musim depan, Selangor yang kemarau kejuaraan sejak dua musim lalu kehilangan kapten skuad negara dan perancang tengah, Safiq Rahim kerana berhijrah ke Johor, selain Amirulhadi Zainal dan Razman Roslan (Pahang) manakala Azidan Sarudin (Perak).

Penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban pula mengetuai senarai pemain yang digugurkan diikuti P Gunalan, R Surendren dan G Jeevananthan. Pasukan Merah Kuning itu bagaimanapun sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi musim mencabar apabila mendapatkan bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, pemain sayap Negeri Sembilan, S Kunanlan selain kapten Harimau Muda A, Mahali Jasuli dan V Kavichelvan di samping S Veenod yang dipinjamkan USM FC dalam kancah Piala Malaysia musim lalu.

“Saya yakin dengan perancangan pengurusan dan jurulatih, kami akan kembali mencabar musim depan dengan memenangi sekurang-kurangnya satu trofi,” katanya yang turut mengharapkan sokongan peminat untuk kembali memenuhi stadium selepas agak suram musim ini.

Sejak bersama Selangor, pemain itu memenangi semua gelaran saingan domestik, Piala Malaysia, Piala FA, Liga Super, Liga Perdana dan Piala Sultan Ahmad Shah selain menjulang Piala AFF 2010 bersama skuad negara.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...