KEPUTUSAN terletak kepada pengendali negara, Datuk K Rajagobal, namun Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Farizal Marlias sentiasa mendapat kepercayaan jurulatih penjaga gol skuad negara, Mohd Fauzi Mukhlas untuk mengawal benteng terakhir skuad negara bagi aksi persahabatan menentang Thailand di Bangkok, malam esok.
Katanya, beliau sentiasa menaruh kepercayaan kepada semua penjaga gol yang dipilih bagi menggalas tugas.
“Mereka yang terbaik di negara kita. Tidak kira siapa diturunkan, saya harap mereka sentiasa menunjukkan kematangan,” katanya yang kini bersama skuad kebangsaan di negara Gajah Putih itu selepas aksi persahabatan menentang Vietnam di Hanoi, Sabtu lalu.
Skuad negara yang dalam rangka persiapan terakhir untuk mempertahankan Piala AFF kecundang 0-1 kepada Vietnam selepas kesilapan Khairul Fahmi membuka ruang kepada Nguyen Trong Hoang meledak jaringan pada minit ke-74.
Kekalahan itu yang kedua buat skuad negara selepas tewas kepada Vietnam 0-2 pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, September lalu.
“Khairul Fahmi tidak boleh berseorangan dipersalahkan kerana ramai pemain melakukan kesilapan sebelum jaringan itu. Lima atau enam pemain cuai melaksanakan tanggungjawab masing-masing, sesuatu yang pastinya perlu diperbaiki apabila menentang Thailand,” katanya yang menjadi antara tenaga penting hingga membolehkan skuad negara menjulang Piala AFF buat kali pertama, dua tahun lalu.
Menurutnya, Khairul Fahmi dan Mohd Farizal pernah berada di kemuncak prestasi dan beliau menaruh keyakinan tinggi mereka akan terus cemerlang selepas ini.
Aksi menentang skuad Thailand kendalian Winfried Schafer di Stadium Muang Thong itu medan terbaik buat skuad negara memperbaiki kesilapan dan meningkatkan corak permainan bagi meraih keputusan positif menjelang tugas getir mempertahankan Piala AFF yang bermula kurang tiga minggu lagi.
Bagaimanapun tiga tonggak utama kini dikhabarkan mengalami kecederaan, termasuk dua pertahanan tengah, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Fadhli Shas selain pemain tengah, Amar Rohidan.
No comments:
Post a Comment