TEKA-TEKI siapa bakal menjadi ketua jurulatih T-Team akan terjawab dalam masa terdekat.
Antara nama disebut sebagai calon termasuk ketua jurulatih Terengganu, Peter Butler yang kembali semula ke Kuala Terengganu hari ini selepas menamatkan cuti bersama keluarga selama tiga minggu di Manchester, England.
Jurulatih bangsa Inggeris yang didenda, digantung dan ditamatkan kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebelum hukuman itu ditarik balik Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan lalu, juga dijadual bertemu pengurusan tertinggi PBSNT, hari ini.
Lebih menarik, sumber dalaman T-Team menyatakan, arahan sudah dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif yang baru dilantik, Abdul Rasid Jusoh untuk wakil pasukan menjemput Butler di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini.
Sebaik saja mendarat di lapangan terbang, mengikut arahan sama, jurulatih berusia 46 tahun itu perlu dibawa ke pejabat PBSNT di Wisma Amar di Kuala Terengganu untuk bertemu pengurusan tertinggi PBSNT.
“Nampak gayanya, ada usaha menyelesaikan masalah Butler dengan PBSNT secepat mungkin kerana kami diarah menjemput Butler dan tanpa melengahkan masa, membawa jurulatih itu terus ke pejabat PBSNT.
“Kami cuma dapat meneka saja namun Butler dan pihak pengurusan PBSNT mungkin mencari jalan penyelesaian terbaik supaya beliau dapat menerima tugasan baru sebagai ketua jurulatih T-Team pula,” katanya.
Namun, masih ada pihak berpendapat bukan Butler yang akan menggantikan tempat dikosongkan Yunus Alif itu, malah, nama ketua jurulatih Kuala Lumpur, Razif Ismail, disebut calon lebih sesuai.
“Pendapat itu mungkin berdasarkan kemunculan Razip di Kuala Terengganu, kelmarin apabila beliau turut berada di padang ketika ujian pemilihan pemain baru yang berminat menyarung jersi T-Team musim depan.
“Ada juga yang mengatakan Razip cuma dilantik sebagai penolong jurulatih saja namun buat masa ini belum ada apa-apa kenyataan daripada pengurusan tertinggi pasukan dan apa yang boleh kita lakukan cuma, tunggu dan lihat,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam, Razip mengesahkan kehadirannya di Kuala Terengganu, kelmarin.
“Saya sudah pulang selepas dua hari di Kuala Terengganu dan saya dijemput ke sana untuk berbincang dengan pengurusan T-Team.
“Memandangkan T-Team sekarang berada di bawah pengurusan baru, belum ada kata putus lagi namun saya percaya semuanya akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya.
No comments:
Post a Comment