Tuesday, November 6, 2012

Seladang buru Mendy perkuat serangan


Harian Metro

PENJARING terbanyak Liga S, Frederic Mendy menjadi calon buruan Perak dalam usaha memperkuatkan jentera serangan skuad Seladang bagi menghadapi kancah Liga Super musim depan.

Menurut sumber, kehadiran pemain berusia 23 tahun dari Perancis yang mewakili Home United itu ke Ipoh kini diusahakan pihak pengurusan Perak. 

“Berdasarkan maklumat diperoleh, dia pemain hebat kerana menjadi penjaring terbanyak Home United dua musim berturut-turut. Kami berminat dengan pemain seperti ini dan berusaha mendapatkannya bagi memperkuatkan jentera serangan,” katanya.


Pertimbangan terhadap pemain dari liga negara Asean kini dibolehkan berikutan langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menamatkan larangan atau ‘tempoh penyejukan’ terhadap pemain dari liga rantau ini.

Perak mencari pemain baru selepas tidak menyambung kontrak dua awang import musim ini, Michal Kubala dari Slovakia dan Albert Bodjongo dari Cameroon.

Ketua jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, skuad Seladang mencari seorang penyerang dan pemain pertahanan untuk memperkasakan pasukan itu bagi kempen kali ini.

Beliau berkata, Perak menerima banyak tawaran termasuk pemain dari Liga Singapura, Indonesia dan Thailand.

Menurutnya, mereka sudah meneliti dokumen serta melihat cakera padat yang dihantar pemain serta ejen masing-masing dengan menyenarai pendek calon berpotensi besar.

Justeru, Azraai memperuntukkan tempoh dua minggu untuk menyelesaikan pencarian tenaga import Perak bagi memastikan Yob membuat pelaburan berbaloi ke atas calon yang dipilih.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...