Sunday, September 4, 2011

Pemain diminta rujuk pengurusan pasukan – FAM


KUANTAN - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu dua pemain yang akan dipanggil untuk mengikuti sesi latihan ke England merujuk kepada pengurusan pasukan masing-masing sebelum berhajat ke sana.

Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Queen Park Rangers (QPR) dan Cardiff City perlu mengemukakan permohonan rasmi kepada pasukan yang diwakili Safiq Rahim dan Safee Sali sekarang.

“Setakat ini tidak ada pihak daripada QPR atau Cardiff mengemukakan permohonan rasmi dengan FAM berhubung perkara tersebut. Saya hanya mendapat berita ini daripada media.

Bagaimanapun, saya menyambut baik berita ini kerana usaha mereka memberi pendedahan kepada pemain kita di kelab Liga Perdana England (EPL),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, QPR dan Cardiff perlu mengikut saluran yang betul dan mematuhi syarat-syarat tertentu kerana setiap pemain adalah hak milik pasukan negeri atau kelab yang mereka wakili sekarang.

“Dalam isu Safiq dan Safee, kedua-dua pengurusan pasukan tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai tawaran tersebut.

“Saya merayu dan berharap QPR serta Cardiff membuat satu tindakan yang tepat seperti menghantar surat kepada FAM berhubung perkara ini dan ia masih belum terlambat,” jelasnya.

Tambahnya, FAM berhak dan mempunyai kuasa menyekat pemergian kedua-dua pemain itu kerana mereka terikat dengan kontrak bersama pasukan masing-masing.

“Masih belum terlambat untuk mereka memilih jalan yang betul dan bukan susah untuk membuat sepucuk surat menyatakan tawaran berkenaan.

“Sehingga ke saat ini apa yang boleh saya katakan bahawa ia (penghijrahan) tidak akan berlaku,” jelasnya.

Katanya, beliau amat menyanjung tinggi usaha tersebut, tetapi ia perlu dilakukan dengan betul dan secara rasmi agar FAM dapat sama-sama membantu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...