LALUAN sukar tetap menanti Kelantan jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berjaya mengekalkan penyerang sensasinya, Norshahrul Idlan Talaha yang kini menjadi rebutan.
Penolong Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail tidak menafikan misi mempertahankan kejuaraan trebel tetap sukar biarpun Norshahrul dapat dikekalkan bersama Red Warriors (TRW) untuk musim depan.
Isu Norshahrul atau Mat Yo yang mahu berpindah selepas mendapat tawaran lumayan daripada Johor menimbulkan keresahan Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan trebel yang berjaya dirangkul musim ini.
Zahasmi berkata, sekalipun Kafa sedaya upaya menghalang perpindahan penyerang itu, laluan TRW tetap sukar berikutan semua pasukan dalam Liga M akan membuat persediaan terbaik.
Katanya, Mat Yo berhak membuat keputusan untuk berpindah, namun beliau meminta supaya pemain yang dinobatkan Pemain Paling Bernilai itu dapat memberi kata putus.
“Tidak dinafikan Norshahrul banyak memberi sumbangan sepanjang tiga tahun bersama Kelantan, namun sebenarnya kejayaan Kelantan adalah usaha pasukan.
“Andai dia kekal bersama kita sekalipun, tugas berat tetap menanti pasukan musim depan. “Bagaimanapun, secara peribadi saya berharap dia dapat kekal bersama Kelantan musim depan, apapun semuanya terpulang kepada dirinya sendiri untuk membuat keputusan terbaik,” katanya.
No comments:
Post a Comment