KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersedia melepaskan Norshahrul Idlan Talaha sekiranya tawaran yang diperoleh berbaloi dengan nilainya.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana Red Warriors bukan hanya dibina dengan seorang pemain sebaliknya dibentuk dengan semangat berpasukan yang saling bantu-membantu.
Beliau berkata, isu perpindahan Norshahrul Idlan atau Mat Yo adalah perkara kecil biarpun terdapat pelbagai spekulasi sejak kebelakangan ini.
"Masalah Mat Yo tidak besar mana pun sebab dalam pasukan, kita tidak bergantung kepada mana-mana pemain sahaja.
"Saya membina pasukan umpama rakit, kalau patah tiga batang kita masih dapat terapung, saya bukan bina pasukan seperti perahu kalau tercabut sekeping papan akan tenggelam.
"Kalau ditakdirkan kita menjual Mat Yo dan kena dengan harganya, kita akan jual tetapi saya kena dengar cakap jurulatih dan ahli KAFA sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.
Beliau berucap pada majlis kesyukuran menyambut kepulangannya kembali dari menunaikan ibadat Haji di Seri Puri, Bukit Marak di sini malam semalam.
Annuar berkata, dalam tempoh seminggu lagi, KAFA akan mengumumkan satu persatu seperti perpindahan dan senarai penuh pemain serta penajaan kepada umum.
"Saya tidak ada masalah mengenai perpindahan pemain tetapi ia perlu dibuat mengikut peraturan, sebagai sebuah kelab profesional kita bersedia dalam proses jual beli main tidak kira Mat Yo atau sesiapa sahaja.
"Sehingga kini, saya boleh katakan 95 peratus pasukan ini sudah siap untuk menghadapi saingan musim hadapan," katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bonus kemenangan ketiga-tiga kejuaraan tersebut akan hanya diberikan kepada pemain yang setia kepada pasukan Kelantan.
"Bonus adalah hak pertimbangan presiden dan persatuan, jadi kita akan hanya memberikan bonus kepada pemain yang setia untuk terus beraksi dengan kita sahaja sebab itu sebahagian daripada semangat berpasukan," katanya.
Sementara itu, Annuar berkata, pemain import dari Nigeria, Obina Nwaneri akan kekal selepas kontraknya disambung setahun lagi manakala seorang lagi pemain dari Lebanon, Mohammad Ghaddar masih dalam perbincangan.
No comments:
Post a Comment