Thursday, November 8, 2012

Pahang dakwa Azidan kini milik Tok Gajah



KUANTAN - Perak terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin apabila Pahang mendakwa telah mendapat persetujuan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk mengikat pemain tersebut.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzaimie Ibrahim mengesahkan telah menerima surat rasmi FAS mengenai persetujuan persatuan itu melepaskan pemain berkenaan untuk menyarung jersi skuad Tok Gajah.


Fuzaimi menerima surat rasmi minggu lalu daripada Setiausaha FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang menjelaskan persetujuan FAS melepaskan Azidan berikutan beberapa siri rundingan diusahakan penolong pengurus skuad Pahang, Zainal Abidin Hassan.

"Zainal Abidin bertanggungjawab mendapatkan pelepasan Azidan daripada FAS, selepas beberapa siri rundingan yang dijalankan, akhirnya kita mencapai kata sepakat untuk perpindahan Azidan" katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Fuzaimi yakin perpindahan ini tidak menjadi isu kerana PBNP mengikuti segala peraturan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk menebus kontrak pemain itu yang masih berbaki dengan skuad Selangor hingga tahun depan.

Tanpa mahu mendedahkan jumlah yang terpaksa dibayar untuk menebus baki kontrak pemain berkenaan, Fuzaimie mengakui PBNP lebih berminat mengadakan rundingan dengan majikan berbanding dengan pemain mengenai isu ini.

"Azidan masih mempunyai baki kontrak dengan Selangor dan pemain itu jelas adalah hak FAS. PBNP mencapai persetujuan dengan FAS dan tidak timbul isu pemain berkenaan boleh mewakili Perak atau tidak," katanya.

Kes Azidan menjadi perhatian selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) melalui Presidennya, Datuk Zainul Fadzi Paharudin mendakwa Azidan secara peribadi menyatakan persetujuan menyertai skuad Seladang musim depan.

Dalam perkembangan lain, Fuzaimie berkata, skuad Tok Gajah bakal diperkuatkan dengan kehadiran penjaga gol Perak musim lalu, Mohd. Nasril Nourdin bagi mengisi kekosongan Wan Azrae Wan Teh.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...