Thursday, November 8, 2012

Mat Yo rayu dilepaskan



Mat Yo

"TOLONG lepaskan saya, jangan rumitkan keadaan." Itulah rayuan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, yang ingin berhijrah ke pasukan Johor musim depan, kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai nasibnya yang kini tergantung sama ada dilepaskan ataupun sebaliknya.

Shahrul atau dikenali sebagai Mat Yo turut merayu agar Kafa melihat keputusan penghijrahan beliau ke Johor dari sudut potifif dan memikirkan mengenai masa depannya pada masa akan datang.


"Saya harap Kafa akan memandang perkara ini dari sudut positif.

"Dan, tolong fikirkan mengenai masa depan saya dan keluarga saya pada masa akan datang," kata Mat Yo ketika ditemui di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang ini.

Tambah Mat Yo: "Umur saya semakin tua, saya bukannya bermain bola untuk selama-lamanya. Bila umur sudah menjangkau 40 tahun, saya akan bersara.

"Jadi, itu semua harus dilihat Kafa. Jadi, saya merayu tolonglah faham situasi saya dan membuat keputusan dengan melihat dari semua sudut," katanya lagi.

Sehubungan itu, Mat Yo yang juga pemain kebangsaan berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin, seboleh-bolehnya sebelum saingan Piala Suzuki AFF yang akan berlangsung 24 November ini.

"Tolong selesaikan masalah ini dengan segera. Kalau boleh saya mahu keputusan ini dibuat sebelum bermulanya saingan Piala Suzuki AFF.

"Saya bukan apa, saya hanya mahukan perkara ini berjalan dengan lancar, sekali gus ia tidak akan mengganggu prestasi saya untuk mempamerkan aksi terbaik nanti," jelas beliau yang memilih untuk berhijrah bukan kerana wang.

"Saya sendiri pun tidak tahu dari mananya timbul isu bayaran RM80,000 itu.

"Saya ingin tegaskan keputusan untuk berhijrah tiada kena-mengenai dengan bayaran gaji. Saya cuma ingin beralih angin dan juga demi masa depan saya," ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...