Sumber: EspnStar.my
Harimau Malaya akan bertemu Thailand di separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 selepas berjaya menewaskan Indonesia 2-0 di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu malam.
Jaringan dari Azamuddin Akil dan Mahali Jasuli telah memberikan kemenangan kepada Malaysia ke atas Indonesia dan meletakkan pasukan Harimau Malaya itu di tempat kedua Kumpulan B dengan kutipan enam mata dan seterusnya layak ke separuh akhir.
Indonesia bermula baik dengan terus memberi asakan ke benteng pertahanan Malaysia. Seawal minit ke-3 mereka mendapat peluang melalui rembatan Vendry namun berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol, Farizal Marlias.
Seminit selepas itu, Samsul Arif membuat percubaan dari luar kotak penalti namun tersasar ke atas gawang gol.
Sementara Malaysia masih mencari rentak permainan, Taufiq cuba menjaringkan gol melalui sepakan percuma namun telah diselamatkan oleh Farizal sekali lagi pada minit ke-12.
Tidak lama selepas itu, pergerakan cantik dari Elie Aiboy hampir memberikan peluang kepada Irfan Bachdim menjaringkan gol namun telah tangkas ditepis oleh Farizal.
Malaysia mula mendapatkan rentak dengan melakukan beberapa serangan dan pada minit ke-27, Wan Zack dari kanan membuat hantaran ke dalam kotak penalti mencari Safee Sali namun terlepas dari tandukan Safee dan lekas dirembat oleh Azamuddin Akil yang menjaringkan gol pertama perlawanan meletakkan Malaysia 1-0 di hadapan.
Tiga minit selepas itu, pergerakan cantik sekali lagi dari Wan Zack di kanan mara ke kotak penalti, pantas membuat hantaran kepada Mahali yang berani ke depan telah memberi peluang untuknya menjaringkan gol kedua untuk Malaysia.
Pada minit ke-35, Indonesia telah melakukan perubahan pertama dalam pasukan dengan memasukkan Andik Vermansyah menggantikan Elie Aiboy.
Dua minit selepas itu, percubaan oleh Wan Zack tepat pada penjaga gol Indonesia, Wahyu.
Pada minit ke-40 Gary Robbat membuat penampilan pertamanya dalam Piala Suzuki AFF apabila dimasukakkan mengantikan Shakir Shaari yang telah dilayangkan kad kuning.
Indonesia cuba bangkit dengan ancaman Andik namun keputusan separuh masa pertama berpihak kepada Malaysia.
Andik Vermansyah melakukan gerakan cantik dari kanan pada minit le-48, mara ke kotak penalti dan cuba melakukan jaringan namun percubaannya mudah dibaca oleh Farizal yang mengawal gawang gol Malaysia dengan baik.
Tiga minit selepas itu Harimau Malaya kembali menyerang. Zubir Azmi dari kiri membuat hantaran kepada Safee Sali tetapi tandukannya tidak menepati sasaran.
Beberapa perubahan dilakukan oleh kedua-dua pasukan apabila Tonnie Cusell masuk menggantikan Oktovianus, Jhonny van Beukering menggantikan Samsul Arif untuk Indonesia.
Datuk K.Rajagobal juga telah menggantikan Azamuddin Akil dengan Fakri Saarani pada minit ke-66 dan seminit selepas itu, Norhshahrul Idlan digantikan dengan Amar Rohidan.
Pada minit ke-74, Safee Sali sekali lagi mendapat peluang dari kiri hasil gandingan dengan Safiq Rahim namun percubaannya masih gagal.
Pasukan tuan rumah mula bertahan dengan lebih kukuh tanpa membenarkan pihak lawan menembusi benteng mereka walaupun percubaan bertubi-tubi dilakukan.
Pada minit ke-80, Indonesia mendapat sepakan percuma dari kanan. Namun sepakan Taufiq ke dalam kotak penalti tidak berjaya disempurnakan penyerang mereka.
Kedua-dua pasukan masih tidak berputus asa untuk mendapatkan jaringan namun ternyata Malaysia telah menjalankan tugas mereka dengan baik dalam perlawanan 'mesti menang' ini sekaligus menyingkirkan Indonesia dari saingan Piala Suzuki AFF 2012.
No comments:
Post a Comment