Thursday, December 6, 2012

Piala AFF: AirAsia tawar tiket paling murah ke Bangkok


KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia sedia menawarkan tiket pergi-balik ke Bangkok dengan harga paling murah kepada penyokong Harimau Malaya bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia menentang Thailand, Khamis depan.
   
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes telah menyatakan persetujuan berhubung perkara tersebut.
   


"Penawaran itu bergantung kepada kekosongan penerbangan. Kita masih tidak tahu berapa ramai penyokong yang benar-benar ingin ke sana (Bangkok). Saya sudah berbincang dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk mendapatkan jumlah mereka yang mahu ke sana.
   
"Kita akan menyediakan penerbangan 'charter' dan jika sekadar 100 atau 200 orang, ia tidak akan memberi impak yang besar. Kita mahu beribu orang ke sana," katanya pada sidang media Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa Redtone KL 2012, di sini hari ini.
   
Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu akan beraksi pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2012 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Ahad ini.

Perlawanan timbal balik bakal diadakan di Stadium Supachalasai, Bangkok pada 13 Dis.
   
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata jika mendapat sokongan menggalakkan, perkhidmatan bas akan turut disediakan dari lapangan terbang di Bangkok ke Stadium Supachalasai.
   
"(Bagaimanapun) Pada masa ini, kos penerbangan, harga tiket, perkhidmatan bas, serta keperluan lain masih dalam perbincangan," katanya - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...