Monday, December 10, 2012

Ashri masih berpeluang bersama skuad negara



KUCHING: Pemain sayap lincah Sarawak, Ashri Chu­chu masih berpeluang men­yarung jersi kebangsaan jika beliau pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.

Menurut Ashri, jurulatih kebangsaan Ong Kim Swee sentiasa menghubungi be­liau untuk memantau tahap pemulihan kecederaannya dari semasa ke semasa.

“Jurulatih (Ong) masih menaruh harapan kepada saya untuk kembali bermain dalam skuad kebangsaan.



“Beliau juga berharap agar saya segera sembuh daripada kecederaan yang dialami,” kata Ashri ditemui di sini semalam.

Kecederaan menghantui Ashri ialah putus urat di pergelangan betis kiri ketika perlawanan menentang T-Team pada Julai lalu yang berkesudahan Sarawak tewas 0-1.

Akibat daripada kecederaan itu, Ashri terpaksa direhatkan sebelum menjalani pembe­dahan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 29 Okto­ber lalu.

“Syukur kerana saya telah selamat menjalani pembeda­han. Namun, saya terpaksa menunggu selama enam bulan lagi sebelum dapat beraksi semula,” katanya.

Pemain berusia 21 tahun itu nyata kecewa kerana tidak dapat membantu rakan-rakan pasukannya (Sarawak) pada awal saingan Liga Malaysia musim depan.

Namun, Ashri tetap yakin dengan kemampuan barisan pemain-pemain lama dan ba­haru dipertaruhkan oleh ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

“Secara peribadi, saya yakin pemain baharu (Ivan Babic dan Ahmad Aminuddin Sha­haruddin) mampu menggalas tugas yang diberikan oleh jurulatih.

“Mereka memiliki kema­hiran dan berpengalaman luas bermain di peringkat bola sepak kebangsaan,” katanya.

Beliau juga percaya keha­diran semula ‘playmaker’ Joseph Kallang Tie dalam skuad dapat menyuntik se­mangat pemain-pemain lain untuk bersama-sama melakarkan kejayaan buat Sarawak musim depan.

Sementara itu, Ashri yakin skuad kebangsaan mampu melakar kemenangan ketika menentang Thailand pada saingan peringkat separuh akhir pertama Piala AFF Su­zuki di laman sendiri (Kuala Lumpur) malam ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...