Monday, December 10, 2012

80,000 tawan Stadium Nasional


Sebahagian daripada penyokong bersorak memberi sokongan kepada skuad kebangsaan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED


KUALA LUMPUR - Hujan lebat sejak pukul 3 petang tidak menghalang lebih 80,000 penyokong Harimau Malaya memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2012 menentang Thailand, semalam.

Suasana gamat di sekitar pekarangan stadium bermula sejak awal petang lagi apabila ribuan penyokong mula datang dengan memakai jersi pasukan kebangsaan sambil berteriak 'Malaysia Boleh' dan 'Hidup Malaysia'.



Turut menjadi tumpuan di luar stadium ialah jualan cenderamata dan mafla yang laris seperti pisang goreng panas.

Walaupun hujan menyebabkan suasana yang kurang selesa, penyokong tetap bersemangat untuk datang memberi sokongan kepada Harimau Malaya.

Penyokong mula memasuki stadium seawal 7.30 malam dan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa masing-masing bersemangat bersorak memberi sokongan kepada skuad kebangsaan.

Baik yang datang dengan kenderaan sendiri mahupun pengangkutan awam, masing-masing datang dalam pelbagai ragam dan gelagat walaupun terpaksa menempuhi kesesakan di setiap laluan masuk utama ke stadium.

Penyokong datang bersama pelbagai sepanduk dan kain rentang yang tertulis dengan kata-kata semangat antaranya 'Mengaum Bersama, Agi Idup Agi Ngelaban, Tanah Tumpahnya Darahku dan Ini Kubu Kita.

Keadaan menjadi semakin gamat apabila pemain kebangsaan memasuki padang untuk sesi memanaskan badan dan keghairahan mula terasa apabila perlawanan dimulakan dengan seluruh stadium bersemangat menyanyikan NegaraKu.

Pasukan pelawat juga turut mendapat suntikan semangat dengan kehadiran kira-kira 1,000 penyokong tidak henti-henti memberi sokongan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...