KUALA LUMPUR - Datuk K. Rajagobal tetap berpuas hati dengan persembahan pemainnya walaupun terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 dengan Thailand dalam separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2012, semalam.
Menurut jurulatih kebangsaan itu, perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam adalah yang terbaik dipamerkan oleh pasukannya, ketika Harimau Malaya dibelenggu masalah kecederaan menentang pasukan sekuat Thailand.
"Sebenarnya kita berhak untuk menang paling minimum 3-1 berdasarkan peluang gol dan corak permainan yang kita pamerkan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Jelasnya, tanpa pemain penting dalam kesebelasan utama, pemainnya masih mampu mempamerkan permainan menyerang dan dia terkejut dengan persembahan tersebut.
"Thailand adalah pasukan yang kuat dan kita harus menerima hakikat tentang kesukaran menentang mereka di sana (Bangkok), tidak ada apa yang boleh dirungutkan.
"Perkembangan terbaik adalah kita dapat lihat Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali berjaya melepasi beberapa pemain pertahanan lawan," katanya.
Sementara itu jurulatih Thailand, Winfried Schafer berkata, mereka kehilangan banyak kehilangan bola pada bahagian tengah dan memang mengakui sukar menentang Malaysia.
"Bagaimanapun selepas ketinggalan 1-0, kami cuba bangkit memberi tentangan dan berjaya menjaringkan gol penyamaan," kata jurulatih itu yang diperintah meninggalkan tempat duduk pemain oleh pengadil perlawanan Torki Mohsen Ramezanali pada pertengahan separuh masa kedua.
Schafer juga mengakui anak buahnya tertekan dengan kehadiran lebih 80,000 penyokong Harimau Malaya.
"Kesilapan juga menyebabkan Malaysia berjaya membolosi gawang kami. Saya telah memberitahu pemain supaya lebih menumpukan perhatian kerana kehilangan bola menyebabkan bencana kepada pasukan kami," katanya.
Tambahnya, walaupun pasukannya mempunyai kelebihan gol di tempat lawan tetapi ia bukannya mudah untuk menentang pasukan sekuat Malaysia di gelanggang sendiri pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai Bangkok, Khamis ini.
No comments:
Post a Comment