Tuesday, December 4, 2012

Kim Swee: Sembilan pemain kelab, negeri setuju sertai Harimau Muda A


KUALA LUMPUR - Sembilan pemain daripada pasukan kelab dan negeri telah menyatakan persetujuan menyertai pasukan Harimau Muda A (skuad bawah 23 tahun negara) pada musim depan, kata ketua jurulatih skuad berkenaan, Ong Kim Swee.
   
Pemain terbabit ialah Mohd Rozaimi Abd Rahman (Sabah), Muhammad Nurridzuan Abu Hassan, D. Kenny Pallraj (Perak); Muhammad Zubir Mohd Azmi (Terengganu), Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan) dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (PKNS FC).
   
Mohamad Firdaus Muhamad (Harimau Muda B), Saiful Ridzuwan Selamat (UiTM FC) dan Adam Nor Azlan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.
   


"Kesemua pemain tersebut telah melapor diri semalam kecuali dua pemain dari Perak yang membantu pasukan mereka menghadapi (Perlis) pada suku akhir kedua Piala Emas Raja-Raja (di Stadium Perak, Ipoh) hari ini," katanya kepada Bernama hari ini.
   
Kim Swee berkata pemain yang belum melapor diri akan berbuat demikian pada sesi latihan pasukan berkenaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, petang esok.

"Selain sembilan pemain tersebut, saya turut berminat mendapatkan pemain pertahanan dari Selangor PKNS iaitu Mohd Aminuddin Mohd Noor bagi memperkuatkan pasukan menghadapi kejohanan-kejohanan pada tahun depan.
   
"Saya difahamkan, Mohd Aminuddin bersama Mohd Azrif Nasrulhaq kini bersama pasukan Selangor PKNS menghadapi perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia tahun depan, namun saya berharap dapat menyelesaikan proses mendapatkan kedua-dua pemain berkenaan sebelum 10 Dis ini," katanya.
   
Beberapa pemain skuad berkenaan telah meninggalkan pasukan itu berikutan telah melebihi had umur, antaranya pemain kebangsaan Mahalli Jasuli yang menyertai pasukan Selangor.
   
Skuad Harimau Muda A bakal beraksi di Eropah musim depan sebagai persediaan awal mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar dan tempat mereka dalam Liga Singapura akan digantikan skuad Harimau Muda B yang dikendalikan bekas jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...