SELEPAS kehilangan pemain pertahanan, Marian Farbak yang tidak disambung kontrak, Negeri Sembilan bakal diperkuatkan dengan bekas pemain kelab Tondela CD dari Portugal, William Paul Modibo, bagi persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Pemain berusia 33 tahun itu yang berasal dari Ngaoundere, Cameroon sudah mula menjalani latihan bersama skuad Negeri Sembilan sejak beberapa hari lalu dan pengesahannya selaku pemain import baru dalam skuad Hoben Jang Hoben itu dijangka diketahui sedikit masa lagi.
Namun secara lisannya pemain yang boleh beraksi di posisi pertahanan dan tengah itu dikatakan berjaya memikat pengurusan skuad berkenaan yang kini dibimbing jurulatih dari Portugal yang juga bekas pengendali kelab bola sepak Indonesia, Persebaya FC, Divaldo Elves.
“Berdasarkan maklumat, William Modibo memenuhi kriteria pemain import diperlukan Negeri Sembilan untuk beraksi di posisi pertahanan bagi menggantikan pemain musim 2012, Marian Farbak, yang sudah diketepikan.
“William memiliki rekod cemerlang bersama pasukannya sebelum ini dan saya yakin keupayaannya beraksi di posisi pertahanan dan tengah bagi membantu Negeri Sembilan cemerlang musim depan,” kata sumber pasukan kepada Arena Metro, semalam.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan, menjelaskan Negeri Sembilan memerlukan sekurang-kurangnya dua pemain import untuk beraksi di posisi pertahanan dan penyerang, bagi membentuk skuad mantap.
Musim lalu, Negeri Sembilan menyandarkan harapan kepada Marian dan Jean-Emmanuel Effa Owona di barisan depan, namun sekadar mara ke peringkat kumpulan Piala Malaysia.
Menurutnya, William dijangka bergandingan tonggak pertahanan tempatan, Norhafiz Zamani Misbah yang kini sudah kembali cergas selepas dibelenggu masalah kecederaan lebih enam bulan lalu.
“Saya berharap kedua-dua pemain ini akan dapat membentuk keserasian baik di posisi pertahanan sepanjang tempoh persiapan bagi memastikan usaha membentuk skuad mantap tercapai.” Mengenai penyerang import pula, sumber itu berkata, seorang pemain berasal dari Argentina yang pernah beraksi dalam liga Indonesia bakal diuji dalam tempoh terdekat.
Beliau yang tidak dapat menyatakan nama pemain berkenaan, berkata pemain terbabit memiliki reputasi yang baik sepanjang beraksi dalam liga negara berkenaan dan dijangka akan mula menjalani latihan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Isnin ini.
“Boleh saya katakan pemain itu akan diuji terlebih dulu oleh ketua jurulatih dan jika dia memenuhi kriteria yang diperlukan, pengurusan pasukan akan membuat keputusan sama ada diserapkan atau sebaliknya,” katanya.
No comments:
Post a Comment