Saturday, December 1, 2012

Ratah Garuda!


Harian Metro

BERENTAP...Rajagobal (kanan) dan Nil bergambar selepas sidang media.

SKUAD Harimau Malaya bakal turun beraksi pada perlawanan terakhir Kumpulan B dengan berbekalkan keyakinan tinggi bahawa mereka mampu menewaskan Indonesia bagi menempah tiket ke separuh akhir Piala AFF.

Barisan pemain skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu sedar bahawa kemenangan saja yang boleh menjamin mereka meneruskan misi mempertahankan kejuaraan dan jika tidak mereka boleh mengucapkan selamat tinggal lebih awal.



Semangat juang pemain dituntut dalam perlawanan ini kerana pertembungan getir dengan naib juara 2010 itu bukan sekadar soal perebutan tiket ke separuh akhir semata-mata sebaliknya ia juga mempertaruhkan maruah negara.

Rajagobal menegaskan hanya kemenangan menjadi fokus pemain-pemain dan percaya mereka boleh mengulangi detik kegemilangan membaham Garuda 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada aksi pertama final dua tahun lalu.


“Saya hanya memikirkan kemenangan, mentaliti saya selalu positif, kami harus mengambil serius perlawanan ini yang amat penting kepada negara. Tapi apa pun ia bergantung kepada persembahan pemain.


“Kami menghormati Indonesia, saya fikir mereka dalam prestasi yang bagus ketika ini tapi kami pernah menewaskan mereka jadi saya yakin kami mampu mengulanginya,” katanya kepada pemberita pada sidang media semalam.

Selepas memulakan kempen Kumpulan B dengan aksi buruk apabila tewas 0-3 kepada Singapura, Harimau Malaya mempamerkan peningkatan dengan menumpaskan Laos 4-1.


Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam kancah Piala AFF ternyata tidak memihak kepada Malaysia apabila tumpas empat kali dalam tujuh pertemuan.

Untuk menang ke atas Indonesia yang kini mendahului kumpulan dengan empat mata bukan mudah, tapi Rajagobal sudah mencongak apa yang perlu dilakukan anak buahnya.


Apa yang melegakan pengendali berusia 56 tahun itu apabila beliau tidak berdepan masalah untuk menurunkan barisan terbaik melainkan hanya Khyril Muhymeen Zambri yang pasti diketepikan kerana mengalami kecederaan pangkal paha.


“Saya mahu pemain beraksi dengan agresif seperti yang ditunjukkan ketika menentang Laos. Kami memerlukan kemenangan jadi kami akan turun dengan mentaliti menyerang tapi kami juga harus berwaspada dengan kemampuan Indonesia melakukan serangan balas pantas kerana mereka berjaya melakukannya ketika menentang Singapura,” jelasnya.


Meskipun beliau mahu anak buahnya memberi perhatian ‘istimewa’ kepada beberapa tonggak Indonesia khususnya, pemain lincah, Andik Vermansyah yang muncul penjaring gol kemenangan ke atas Singapura.


“Andik boleh memberikan ancaman, (Muhammad) Taufiq pula seorang pemain yang rajin. Selain Bambang (Pamungkas) mereka juga pemain berpengalaman seperti Elie Aiboy dan Oktovianus (Maniani). “Memang kita perlu berhati-hati dengan pemain ini tapi kita lebih memberi perhatian kepada satu pasukan,” kata Rajagobal yang membimbing skuad kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF buat kali pertama dengan menundukkan Indonesia menerusi agregat 4-2 di Jakarta pada 2010.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...