LEBIH 80,000 penyokong Harimau Malaya membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF bertemu Thailand.
Meskipun hujan lebat di ibu negara sejak jam 3 petang, ia tidak menghalang peminat bola sepak tempatan untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada anak buah Datuk K Rajagobal.
Sejak skuad negara mempamer prestasi meyakinkan dengan mara ke separuh akhir, penyokong mula membanjiri stadium, tidak seperti pada dua perlawanan pertama bertemu Singapura serta Laos.
Suasana malam tadi tidak ubah seperti dua tahun lalu ketika skuad negara turun pada peringkat sama bertemu Indonesia yang menyaksikan anak buah Rajagobal mencatatkan kemenangan 3-0.
Situasi di luar stadium juga begitu meriah apabila penyokong bersorak memberi kata-kata semangat kepada skuad negara sebelum memasuki stadium.
Pelbagai kain rentak berbunyi seperti ‘Tanah Tumpahnya Darahku serta ‘Mengamun Bersama’ di pasang di dalam stadium untuk memberikan semangat kepada skuad negara.
Peminat juga tidak melepaskan peluang membeli pelbagai koleksi barangan Harimau Malaya seperti jersi dan mafla yang turut dijual di luar stadium.
Kehadiran penyokong setia Ultras Malaya juga wajar diberi pujian kerana tidak jemu bersorak serta memberi kata-kata semangat kepada skuad negara sejak wisel mula perlawanan.
Namun perlawanan tadi terganggu sedikit dengan sikap segelintir penyokong yang menggunakan pancaran laser sehingga menyaksikan pengumuman terpaksa dibuat bagi menghentikan tindakan itu.
No comments:
Post a Comment