TUMPAT FA mensasarkan berada dalam kelompok empat pasukan terbaik apabila tampil buat julung kalinya beraksi dalam saingan Liga FAM musim 2013.
Pasukan yang diperkuatkan dengan barisan pemain muda serta gabungan dua bekas pemain Kelantan, Che Hishamudin Hassan dan Sarudy Aziz bakal menjadi pencabar kepada 12 pasukan lain yang bertanding dalam Liga FAM.
Jurulatih Tumpat FA, Husin Deraman berkata, pasukannya sudah membuat persediaan lebih setahun sebelum tampil dalam saingan liga ketiga terbaik ini malah percaya dengan pengambilan pemain muda yang pernah beraksi di peringkat negeri mampu membawa pasukan berkenaan ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, khidmat bekas dua pemain Kelantan juga diserap dalam pasukan Tumpat FA bagi mengimbangi kekuatan tenaga dan dan pengalaman sebelum memulakan misi memburu kedudukan empat terbaik apabila saingan bermula Febuari ini.
“Untuk musim pertama kita mensasarkan berada dalam kelompok empat terbaik dan jika mempunyai peluang, kita mahu berada sebaris dengan pasukan senior, Kelantan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Memperkenalkan Pasukan Tumpat FA dan Penyerahan Cek Tajaan, semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Jajahan Tumpat (PBJT), Wan Hanapi Wan Yakob dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Perumahan Rakyat Kelantan (KPRK), Nik Salman Nik Din.
Sementara itu, Nik Salman berkata, bagi permulaan, pihaknya menjadi penaja tunggal kepada Tumpat FA malah melabur lebih RM500,000 bagi pembangunan pasukan berkenaan untuk saingan 2013.
Katanya, KPRK menaruh harapan tinggi terhadap Tumpat FA selain mahu melihat pasukan berkenaan mencipta kejutan pada penampilan pertama dalam Liga FAM.
“Melihat barisan pemain yang dimiliki Tumpat FA dan cetusan fenomena bola sepak di negeri ini, kita yakin pasukan ini boleh melangkah jauh.
“Melihat kejayaan Kelantan yang merangkul kejuaraan trebel, menyuntik semangat pemain Tumpat FA untuk berada sebaris dengan mereka malah ia memberi keyakinan kepada saya untuk menaja pasukan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment