Monday, December 10, 2012

Skuad Negeri Sembilan tampak lebih mantap

Harian Metro


KEHILANGAN empat pemain musim lalu dalam pasukan Negeri Sembilan tidak akan dirasai sepenuhnya kerana barisan yang ditampilkan bagi Liga M musim 2013, tampak lebih meyakinkan dengan kehadiran pemain berpengalaman serta dua pemain import berwibawa.

Pandangan itu disuarakan tonggak pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah, bahawa kehadiran Mohd Fauzi Nan dari Kedah, Abdul Ghani Rahman dan Mohd Hamsani Ahmad (Felda United FC) serta pemain import dari Cameroon, William Paul Modibo mampu menggantikan tempat Mohd Shukor Adan yang berhijrah ke ATM dan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias ke Perak.



Kehilangan pemain sayap lincah S Kunanlan ke Selangor akan dapat digalas bekas penyerang Johor FC, Eddy Helmi Manan yang juga bertindak sebagai penyerang bersama tonggak import yang pernah beraksi dengan Kelab Persija Jakarta IPL, Emanuel De Porras.

“Saya yakin kehilangan mereka termasuk Marian Farbak di posisi pertahanan dan Jean-Emmanuel Effa Owona di barisan depan tidak akan dirasai kerana pengganti mereka berwibawa menggalas cabaran pasukan.

“Misalnya, De Porras sudah membuktikan kemampuannya ketika beraksi dengan kelab di Indonesia itu, walaupun kali pertama beraksi dalam liga bola sepak negara ini namun saya percaya dia mampu meneruskan kehebatannya membantu Negeri Sembilan mencapai kejayaan musim depan,” katanya semalam.

Bekas pemain kebangsaan berusia 32 tahun itu yang dilantik sebagai kapten turut yakin dengan perancangan ketua jurulatih, Divaldo Elves dalam membentuk barisan mantap.

Menurutnya, bekas pengendali kelab bola sepak Indonesia, Persebaya FC itu memiliki keupayaan tinggi mengembalikan semula reputasi skuad Rusa selaku pencabar terkuat musim depan.

Norhafiz yang mengakui kecergasannya belum mencapai tahap 100 peratus berikutan kecederaan lutut serius, berharap dapat memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan terutama dalam merealisasikan sasaran.

Dia yang bekerja keras mengembalikan tahap kecergasan berkata, walaupun menjangkakan saingan musim 2013 lebih sengit tapi dengan persiapan rapi serta gandingan pemain berpengalaman, Negeri Sembilan mampu merangkul kejuaraan daripada tiga trofi yang dipertandingkan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...