Thursday, December 6, 2012

Indonesia berdepan risiko penggantungan FIFA



KUALA LUMPUR - Pasukan bola sepak Indonesia berdepan risiko digantung daripada beraksi pada peringkat antarabangsa selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hilang sabar dengan konflik dalaman Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).

Menurut laporan akhbar Indonesia, The Jakarta Post semalam, FIFA mungkin mengenakan sekatan terhadap bola sepak Indonesia ekoran terdapat dua badan induk berbeza di negara itu yang menguruskan dua liga berlainan.



Di dalam satu surat yang dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan, Andi Mallarangeng, Setiausaha FIFA, Jerome Valcke berkata, konflik antara PSSI dan Komite Penyelamat Sepak Bola Indonesia (KPSI) semakin sukar ditangani, malah tiada sebarang kemajuan ke arah penyelesaian.

Jawatankuasa bersama tersebut diberi tempoh sehingga 10 Disember ini bagi menyelesaikan isu kewujudan dua persatuan bola sepak, dua liga bola sepak dan permasalahan undang-undang PSSI.

"Jawatankuasa FIFA telah memberi amaran jika kes-kes itu gagal diselesaikan, perkara ini akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FIFA pada 14 Disember 2012 bagi menentukan hukuman yang akan diterima. Hukuman paling berat adalah penggantungan serta merta.

"Tarikh akhir untuk PSSI menyelesaikan permasalahan ini semakin dekat dan pihak berkuasa Indonesia mesti peka terhadap hukuman yang akan dikenakan.

"Kami cukup memahami kegilaan masyarakat Indonesia terhadap bola sepak dan hukuman ini pasti akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat di sana.

"Kami telah sedaya upaya membantu menyelesaikan masalah ini tetapi kami bimbang tiada pilihan lain melainkan objektif FIFA dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dapat dipenuhi, " kata Valcke dalam surat yang dihantar pada 26 November lalu dari Zurich, Switzerland.

Jurucakap Kementerian Belia dan Sukan Indonesia, Amar Ahmad juga enggan memberikan sebarang komen dengan berkata, dia tidak melihat lagi surat berkenaan sambil menyatakan Andi ke Bali atas urusan kerja.

Sebelum ini, Andi enggan memberikan sebarang spekulasi jika FIFA menggantung Indonesia sambil menggesa PSSI dan KPSI menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin untuk penyatuan bola sepak Indonesia.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PSSI, Saleh Mukadar, persatuan itu mahu menunggu keputusan akhir FIFA.

"Kami perlu melaporkan kepada FIFA terhadap apa yang telah kami lakukan di sini dan situasi terkini.

"Malahan, masih belum jelas sama ada penggantungan itu akan dikenakan terhadap persatuan bola sepak atau negara tidak boleh bertanding dalam sebarang kejohanan bola sepak peringkat antarabangsa, " katanya.

PSSI dan KPSI pernah menandatangani memorandum persefahaman di Kuala Lumpur Jun lalu bagi menyelesaikan salah faham antara mereka.

Jawatankuasa bersama, yang ditubuhkan kemudian bagi menyelesaikan isu di sana gagal mencapai sebarang kemajuan malahan tiga ahli jawatankuasanya menarik diri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...